KENYATAAN BALAS DARI PURBA SELANGOR BERKAITAN KOMEN-KOMEN PERTANDINGAN KERIS NUSANTARA PADA 22/12/2012.
 
 Adalah dengan ini PURBA Selangor merasa terpanggil untuk membuat 
kenyataan balas terhadap beberapa kenyataan oleh segelintir peminat 
keris pada pertandingan keris nusantara yang lalu :-
 
 1. PURBA Selangor agak kesal dengan sesetengah pihak yang cuba membuat kenyataan dan komen-komen liar terhadap
 hakim-hakim dan keris-keris yang dipertandingkan. Penghakiman mempunyai
 jawatan kuasanya yang terdiri dari Pengerusi pertandingan, Ketua hakim 
dan hakim-hakim, penghakiman dibuat secara kolektif dan ianya adalah 
tanggungjawab pihak penganjur. Pihak luar tidak perlu ambil peduli 
tentang urusan penghakiman kerana itu adalah urusan dalaman dan semua 
keputusan yang dikeluarkan adalah muktamad seperti yang dinyatakan pada 
borang penyertaan iaitu : PIHAK PENGANJUR TIDAK BERTANGGUNGJAWAB DIATAS 
PEMILIHAN KATEGORI SENJATA YANG DIPERTANDINGKAN DAN IA TERPULANG KEPADA 
PESERTA UNTUK MENENTUKANNYA - KEPUTUSAN HAKIM ADALAH MUKTAMAD.
 
 
2. Untuk makluman semua peminat senjata, pertandingan yang diadakan 
tempohari bukanlah pertandingan kerawang atau belalai gajah tetapi 
adalah pertandingan keris. Diharap semua peminat senjata lebih peka dan 
tahu beza perkataan kerawang, belalai gajah dengan keris, jika memang 
tidak faham dengan istilah berikut pihak PURBA Selangor sedia membantu 
untuk menerangkannya. PURBA Selangor agak terkilan bila mana keris-keris
 yang dipertandingkan dinilai di luar pertandingan oleh segelintir 
peminat keris, diharap kita lebih peka dengan perasaan tuan empunya 
keris dan janganlah hanya mencari keburukan dan kesilapan keris orang 
kerana dengan cara seperti ini akan menimbulkan banyak tanggapan 
negatif. Pandanglah dari sudut yang positif supaya ianya dapat menjadi 
sempadan dan membawa ke arah kebaikan.
 
 3. Senjata dalam 
pertandingan tidak boleh dinilai secara penilaian peribadi, penghakiman 
dan penilaian dibuat mengikut skima yang telah disediakan oleh pihak 
penganjur. Oleh itu PURBA Selangor amat berharap janganlah ada 
komen-komen atau tuduhan-tuduhan negatif dilemparkan terhadap para hakim
 kerana hakim-hakim menjalankan tugas penghakiman dan penilaian mengikut
 skima yang telah disediakan oleh pihak penganjur. PURBA Selangor amat 
mengalu-alukan sebarang komen yang membina dan positif dari semua warga 
peminat senjata tetapi bukanlah komen-komen yang bersifat serangan 
peribadi supaya pertandingan yang lebih baik akan boleh dianjurkan pada 
masa akan datang.
 
 4. Pada pemerhatian PURBA Selangor, 
pihak-pihak yang banyak membuat kenyataan dan komen terhadap penghakiman
 pertandingan baik di Kelantan, Terengganu dan Selangor adalah kumpulan 
yang sama. Jadi PURBA Selangor amat berharap semua peminat senjata dan 
orang ramai dapat membuat penilaian sendiri terhadap keikhlasan 
seseorang dalam memartabatkan budaya perkerisan di Malaysia. Yang amat 
dikesalkan ada segelintir peminat keris yang tidak hadir pada hari 
pertandingan tersebut turut memberi komen-komen negatif yang dilihat 
seperti mahu menyalahkan sesetengah pihak tanpa ada usul dan periksa.
 
 * SAYUGIA DIINGATKAN BAHAWA PERTANDINGAN INI DIANJURKAN ADALAH DEMI 
UNTUK MEMERTABATKAN WARISAN BANGSA DAN UNTUK MENGERATKAN HUBUNGAN 
SILATURRAHIM DIANTARA PEMINAT KERIS KHUSUSNYA DAN PEMINAT BUDAYA WARISAN
 MELAYU AMNYA. SEKIRANYA TERDAPAT KOMEN-KOMEN POSITIF DAN MEMBINA AKAN 
KAMI PERTIMBANGKAN UNTUK PROGRAM AKAN DATANG.